penyakit kaki tangan dan mulut (penyakit hfmd)

Tanda-tanda Penyakit Kaki Tangan dan Mulut dan Rawatan

Sila kongsikan
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Penyakit kaki tangan dan mulut juga dikenali sebagai Hand, Foot and mouth disease(HFMD) adalah disebabkan jangkitan virus. Pesakit selalunya akan mempunyai ruam yang berair pada bahagian tangan, kaki dan disekeliling mulut. Pesakit juga akan mengalami ulser yang banyak di dalam mulut menyebabkan pesakit kurang meminum air.

Penyakit ini disebabkan jangkitan virus yang dinamakan sebagai coxsackievirus dan juga enterovirus. Disebabkan virus ini merebak melalui cecair yang pesakit keluarkan seperti daripada air liur, batuk, bersin dan juga air daripada ruam, orang disekeliling dan yang menjaganya perlulah mengamalkan cucian tangan yang betul dan selalu.

Tanda tanda penyakit kaki tangan dan mulut

Pesakit selalunya mengalami demam yang tidak terlalu tinggi pada permulaannya diikuti dengan ruam yang timbul.

Disini adalah senarai tanda-tanda penyakit HFMD

  • Demam: Hanya berlaku diawal penyakit HFMD. Kemudian, demam akan pulih selalunya selepas sehari
  • Sakit tekak
  • Sakit ulser di dalam mulut
  • Kurang selera makan
  • Ruam pada bahagian tangan dan kaki. Ruam tersebut selalunya mempunyai air

Pesakit selalunya akan mula menunjukkan simptom HFMD 5 hari selepas terdedah dengan virus tersebut. Demam adalah petanda pertama sebelum timbulnya ruam penyakit kaki tangan dan mulut.

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

Sebaik sahaja pesakit menunjukkan tanda ruam pada tangan, kaki dan ulser di dalam mulut, pesakit ataupun ibubapa perlu membawa pesakit berjumpa dengan doktor. Ini penting supaya notifikasi terhadap penyakit tersebut dapat dibuat kepada pihak berkuasa bagi menentukan sama ada wabak sedang berlaku dikawasan tersebut ataupun tidak.

Apakah punca penyakit kaki tangan dan mulut?

Penyebab kepada penyakit ini adalah jangkitan kuman bernama coxsackievirus dan juga enterovirus. Jangkitan ini merebak ke orang lain dengan cecair ataupun titisan air yang dihasilkan oleh pesakit sebagai contoh daripada air liur, batuk, bersin, ruam dan najis pesakit.

Penyakit HFMD ini sangat mudah merebak di dalam kawasan taska ataupun tadika kerana kanak-kanak selalunya akan menggunakan permainan, sudu dan garfu yang sama. Bahkan mereka selalunya akan bermain bersama-sama.

Apakah komplikasi yang mungkin saya ataupun anak saya hadapi?

Komplikasi yang selalu dihadapi adalah dehidrasi(kekeringan). Disebabkan ulser yang banyak di dalam mulut, pesakit selalunya tidak akan lalu minum menyebabkan dia kekurangan air di dalam badan.

Terdapat juga beberapa komplikasi yang berbahaya seperti:

  • Encephalitis: Jangkitan kuman dibahagian otak. Selalunya pesakit akan mengalami sawan
  • Myocarditis: adalah keradangan di bahagian otot jantung. Selalunya pesakit punya denyutan nadi akan menjadi tidak sekata dan ia boleh menyebabkan jantung tiba-tiba berhenti.

Apakah cara untuk mengelakkan Penyakit ini?

Terdapat beberapa cara untuk kita mengelakkan daripada pesakit ini merebak:

  • Sentiasa membasuh tangan: Jika kita berhadapan dengan kanak-kanak yang terkena jangkitan ini, kita perlulah sentiasa membasuh tangan kita sama ada menggunakan air dan sabun ataupun menggunakan pencuci alkohol. Ia akan mengelakkan kita daripada menyebarkan virus ini ke tempat lain.
  • Cuci kawasan yang terdedah: Sentiasa membersihkan kawasan permainan ataupun kawasan yang tumpuan kanak-kanak. Ini penting untuk membunuh kuman yang terdapat dikawasan tersebut dan mengelak kuman tersebut daripada menjangkiti orang lain.
  • Ajar kepada kanak-kanak cara untuk mencuci tangan yang betul
  • Asingkan pesakit daripada orang ramai. Jika kanak-kanak menghadapi penyakit ini, pesakit tidaklah boleh dibawa ke taska mahupun ke tadika kerana ia boleh menyebabkan penyakit tersebut merebak

Bagaimana untuk mengesahkan penyakit ini?

Penyakit ini selalunya disahkan dengan pemeriksaan klinik sahaja. Pengambilan sampel dari tekak hanya penting untuk menentukan jenis virus apakah yang menjangkiti pesakit.

Pesakit yang selalunya mempunyai demam pada hari yang pertama berserta ruam berair di kaki dan tangan dan juga ulser di dalam mulut selalunya adalah disebabkan penyakit HFMD

Apakah Rawatan untuk penyakit HFMD?

Tiada rawatan yang spesifik untuk menyembuhkan penyakit ini kerana selalunya ia akan baik dengan sendirinya.

Rawatan yang diberikan selalunya adalah rawatan sokongan supaya pesakit dapat menghadapi penyakit tersebut dengan baik hingga dia sembuh sepenuhnya.

Rawatan tersebut adalah:

  • Ubat paracetamol: Untuk mengurangkan demam dan juga mengurangkan rasa sakit pada ulser
  • Ubat sembur dalam mulut: Untuk kurangkan rasa sakit pada ulser di dalam mulut. Ibubapa boleh beli ubat tersebut di farmasi
  • Pemberian air: Jika pesakit mengalami kekeringan(dehidrasi) yang teruk, pesakit selalunya akan dimasukkan ke dalam wad dan diberikan air. Air tersebut akan terus dimasukkan ke dalam saluran darah untuk menggantikan air yang hilang daripada badan

Rawatan Pesakit HFMD di Rumah

Beberapa jenis makan dan minuman akan menyebabkan kesihatan yang teruk pada ulser dibahagian lidah dan tekak. Anda boleh cuba tips ini untuk mengurangkan rasa sakit pada ulser tersebut:

  • Hisap ais dalam mulut
  • Makan ais krim ataupun makanan yang sejuk
  • Minum minuman yang sejuk ataupun susu
  • Elak makanan yang berasid ataupun masam seperti buah limau dan minuman berkarbonat
  • Elakkan makanan yang masin dan juga pedas,
  • Makan makanan yang lembut dan tidak perlu mengunyah seperti bubur
  • Bilas mulut dengan air suam selepas makan

Rujukan:

  1. Hand, foot, and mouth disease. Centers for Disease Control and Prevention. https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/index.html.
  2. Hand, foot, and mouth disease information sheet. World Health Organization. http://www.wpro.who.int/emerging_diseases/hfmd.information.sheet/en/#.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *