Mentega (Butter) atau Marjerin: yang mana pilihan sihat?

Sila kongsikan
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Mentega (Butter) atau Marjerin: yang mana pilihan yang sihat?

Mentega atau marjerin selalunya digunakan untuk sapuan roti, membuat kuih dan diletakkan dalam masakan. Berbanding marjerin, mentega telah lebih lama wujud di pasaran. Mari kita selidik mengenai kelebihan dan kelemahan bagi kedua-dua jenis produk ini dan menilai kesan kedua-duanya terhadap kesihatan.

Lemak tepu vs lemak tak tepu

Mentega (butter) mengandungi asid lemak tepu (saturated fatty acids). Setiap ikatan antara atom-atom karbon di dalam molekul asid lemak tepu yang terkandung di dalam mentega hanya mempunyai 1 ikatan. Sebaliknya, di dalam marjerin, terdapat 2 ikatan (double bond) antara 2 atom karbon yang menunjukkan bahawa kandungan lemak di dalam marjerin adalah jenis lemak tak tepu.

Mengapakah ciri ini penting? Menurut kajian, asid lemak tepu mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko terhadap serangan penyakit jantung koronari. Ini disebabkan lemak tepu mudah terkumpul dalam arteri koronari yang kemudiannya membawa kepada sumbatan terhadap arteri tersebut. Oleh yang demikian, terdapat dakwaan bahawa mengambil makanan yang mempunyai kandungan lemak tak tepu akan merendahkan risiko serangan jantung berbanding mengambil makanan yang mempunyai kandungan lemak tepu seperti mentega.

Namun, janganlah terburu-buru dalam menentukan pilihan!

Lemak Trans

Marjerin mungkin mempunyai asid lemak tak tepu. Namun, dalam proses penukaran minyak tumbuhan kepada sesuatu yang seolah-olah seperti tekstur mentega, pembuatan marjerin telah melalui satu proses yang dinamakan hidrogensi (hydrogenation). Proses hidrogenasi melibatkan penambahan hidrogen melalui 2 ikatan (double bonds) untuk menghasilkan minyak yang lebih pekat/likat dan konsistensi yang diperlukan. Apa yang menjadi permasalahan adalah ketika proses hidrogenasi ini berlaku, suhu yang tinggi telah digunakan terhadap minyak dan menyebabkan struktur kandungan asid lemak berubah. Perubahan ini melibatkan penukaran daripada lemak cis kepada lemak trans.

Jadi, apa masalahnya? Jawapannya adalah kerana terdapat kajian yang menunjukkan bahawa lemak trans akan memberikan mudarat kepada anda. Bahkan, ia juga didakwa lebih buruk kesannya berbanding lemak tepu. Lemak trans akan menunjukkan kesan buruk apabila ia digunakan semasa proses metabolasi dalam tubuh anda. Akibatnya, kolesterol jahat (LDL) akan meningkat dan kolesterol baik (HDL) akan menurun. Kesan ini akan menyebabkan peningkatan kepada risiko atherosclerosis (arteri tersumbat) dan membawa kepada serangan penyakit jantung koronari.

Oleh itu, perlu dielakkan marjerin, mentega atau kedua-duanya??

Perlu diketahui bahawa mentega (butter) merupakan produk bahan asli yang diperbuat daripada susu dan mengandungi pelbagai nutrient yang diperlukan oleh tubuh termasuklah vitamin A dan vitamin E. Walaubagaimanapun, marjerin diperbuat daripada banyak bahan termasuklah satu atau banyak jenis minyak tumbuhan, air, garam, tenusu dan kimia sintetik yang banyak.

Namun begitu, pada masakini, di luar negara, setelah pengilang marjerin telah menyedari terdapat kelemahan pada lemak trans, mereka telah menggunakan alternatif lain dalam meningkatkan konsistensi marjerin selain menggunakan kaedah hidrogensi. Dan produk yang terhasil dikatakan bebas daripada lemak trans. Tambahan pula, produk marjerin ini adalah rendah kandungan lemak tepu dan rendah kalori. Namun, alternatif seperti ini dilihat masih belum dipraktikkan lagi di Malaysia.

Perdebatan antara memilih mentega atau marjerin seolah-olah tiada penghujungnya. Ini disebabkan terdapat kelebihan dan kekurangan bagi kedua-dua produk ini. Apa yang penting adalah sikap menyelidiki produk-produk yang diambil dan kesannya terhadap kesihatan perlulah diamalkan supaya anda dapat memelihara kesihatan tubuh dan terhindar daripada serangan penyakit.

Sumber: Science abc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *