apa itu disleksia

Apa itu Disleksia, simptom dan kesannya

Sila kongsikan
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Apa itu disleksia, simptom dan kesannya?

Membaca merupakan satu aktiviti yang rumit. Pelbagai fungi otak digunakan secara serentak semasa membaca. Walaupun pada saat ini, jika anda perhatikan semasa anda membaca artikel ini, otak anda perlu pada mulanya mengenalpasti abjad-abjad, kemudian mengaitkan kepada bunyi yang dihasilkan, kemudian dicampurkan pelbagai bunyi daripada abjad-abjad untuk membentuk perkataan, menggabungkan perkataan-perkataan untuk mengenalpasti ayatnya dan akhirnya memahaminya dalam sebuah perenggan. Fuhh!! Prosesnya sangat rumit. Namun, otak kita telah melakukannya dengan sangat pantas sehingga kita mampu membaca dengan sangat cekap.

Apa itu Disleksia?

Apa itu itu disleksia? Disleksia adalah merupakan salah satu jenis kesukaran dalam pembelajaran. Bagi insan-insan yang mempunyai disleksia, mereka akan mengalami masalah dalam membaca dan mengenal huruf. Kesannya, ia akan membawa kepada kesulitan dalam menulis dan membaca. Walaubagaimana pun, ia bukanlah menggambarkan tahap kecerdikan mereka. Ia hanyalah disebakan kesan daripada salah satu kemampuan mereka terganggu.

Orang yang mempunyai disleksia mempunyai masalah dalam mengenal huruf atau menghubungkannya dengan bunyi huruf berkenaan. Masalah ini memberi kesan kepada kemampuan untuk membaca, menulis, menggabungkan perkataan-perkataan bersama-sama, memahami rentak perkataan-perkataan dan sebagainya. Namun begitu, orang yang mempunyai disleksia sebenarnya adalah lebih kreatif daripada orang lain.

Banyak kaijan-kajian dijalankan tidak menemui penyebab kepada disleksia. Kebanyakkan faktor ditemui adalah disebabkan oleh genetik. Namun, faktor lain yang boleh mendorong kepada disleksia adalah seperti persekitaran, cara pembelajaran dan lain-lain. Terdapat bahagian fungsi otak yang mengawal pengenalan huruf dan menyambungkannya dengan bunyi, namun mekanisma sebenar fungsi ini masih belum dapat diketahui.

Simptom-simptom disleksia

Simptom disleksia amat sukar dikesan pada peringkat usia kanak-kanak yang masih kecil. Simptom-simptom ini akan dapat dikesan ketika mereka semakin membesar.

Peringkat pra-persekolahan

1. Kemahiran bertutur yang lewat.

2. Sebutan perkataan yang kurang jelas.

3. Kesukaran menangkap rentak bunyi perkataan.

4. Sebutan ‘berus gigi’ kepada ‘gigi berus’.

Walaubagaimana pun, anda perlu ingat bahawa setiap kanak-kanak adalah berbeza, dan mereka tidak perlu dipastikan agar mendapatkan kemahiran bertutur yang bagus pada masa usia yang sama. Tambahan, masalah-masalah di atas juga boleh disebabkan oleh pelbagai faktor/masalah lain selain daripada disleksia.

Peringkat persekolahan

Semakin bertambah umur, simptom juga akan nampak lebih jelas. Ini kerana, apabila mereka lebih dewasa, mereka telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran-kemahiran seperti menulis dan membaca. Antara simptom yang boleh dilihat:

1. Tidak mampu mengenalpasti huruf dan bunyinya.

2. Percampuran dalam mengeja perkataan dengan kerap.

3. Keliru antara huruf/nombor yang seakan-akan serupa seperti huruf b dan d atau nombor 6 dan 9.

4. Mengadu tentang masalah gangguan penglihatan ketika membaca. Sebagai contoh, mereka mengadu bahawa huruf-huruf adalah kabur atau sesuatu gambar bergerak-gerak.

5. Kesukaran belajar sesuatu yang melibatkan susunan/aturan seperti nama-nama bulan dalam setahun.

6. Kesukaran dalam membaca secara kuat.

7. Mengungkapkan sesuatu secara oral tetapi sukar menyatakannya dalam bentuk tulisan.

8. Menulis dengan lambat.

9. Tulisan yang kurang jelas.

10. Kesukaran dalam memahami perkataan yang banyak dan jarang didengari serta memerlukan kaedah dengan membentuk perkataan yang sedikit dan biasa didengari.

Peringkat dewasa

1. Kesukaran dalam membaca

2. Kesukaran dalam menulis surat, karangan dan seumpamanya ketika ingin menyampaikan sesuatu yang mereka ketahui.

3. Cuba mengelakkan diri daripada tugasan yang melibatkan membaca dan menulis.

4. Kesukaran dalam pembelajaran dan mengulangkaji untuk peperiksaan.

5. Kesilapan dalam mengeja.

6. Berusaha keras dalam mendapatkan nota-nota yang tepat.

7. Kesukaran dalam menghafal seperti nombor telefon, kata kunci dan lain-lain.

8. Hakikatnya seorang yang kreatif dan cerdik.

Diagnosis dan rawatan

Disleksia merupakan seperti kebanyakkan masalah ketidakmampuan yang lain yang tidak mempunyai ujian tertentu untuk mengesannya. Diagnosis bagi masalah ini dapat dilakukan dengan memerhatikan dan mengenal pasti simptom-simptomnya dan tanpa mengambil kira masalah lain. Sebagai contoh, jika seseorang kanak-kanak mengalami kesukaran dalam membaca, penyebab yang mungkin boleh terjadi seperti masalah penglihatan perlu diselidik terlebih dahulu.

Disleksia kebanyakkannya boleh dikesan ketika peringkat persekolahan dengan usaha yang diambil oleh guru-guru dan ibu bapa. Jika seseorang kanak-kanak telah disyaki mempunyai disleksia, ibu bapa/penjaga perlulah mengambil langkah terbaik dengan membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan yang sewajarnya.

Disleksia tidak mempunyai ubat untuk pemulihan. Namun, pelbagai kaedah boleh digunakan untuk membantu mereka yang disleksia supaya mereka dapat menjalani aktiviti harian dengan mudah. Pelbagai jenis kaedah yang boleh dilakukan seperti, membacakan dengan kuat kepada mereka terutama ketika mereka diberikan soalan-soalan untuk dijawab. Terdapat juga teknologi-teknologi terkini yang menghasilkan software dan program untuk memudahkan golongan disleksia untuk membaca dan menulis.

Bagi individu yang mengalami disleksia, seharusnya tidak perlu untuk merasa rendah diri. Ini kerana, terdapat beberapa tokoh seperti Leonardo da Vinci dan Thomas Edision yang juga mengalami disleksia! Ini membuktikan bahawa disleksia tidak mempengaruhi kejayaan seseorang namun ia adalah sedikit cabaran yang perlu ditempuhi!

Sumber: Science abc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *